BEIJING: Lonjakan kes Covid-19 mendorong pihak berkuasa tempatan melaksanakan penutupan di hab pembuatan selatan China di Guangzhou.
Tindakan itu sekali gus menambah tekanan kewangan yang mengganggu rantaian bekalan global dan memperlahankan pertumbuhan secara mendadak dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Menurut pihak berkuasa tempatan semalam, penduduk di daerah yang merangkumi hampir lima juta orang diarahkan berada di rumah sekurang-kurangnya hingga Ahad ini, iaitu hanya seorang ahli keluarga dibenarkan keluar sekali dalam masa sehari untuk membeli keperluan.
Perintah itu dikeluarkan selepas bandar yang mempunyai seramai 13 juta penduduk itu merekodkan lebih 2,500 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.
Selain itu, sistem pengangkutan awam digantung dan pembelajaran di kelas ditangguhkan membabitkan sebahagian besar Guangzhou, manakala penerbangan ke Beijing dan bandar utama lain dibatalkan, menurut media kerajaan.
China mengekalkan polisi ‘sifar Covid-19 yang ketat walaupun bilangan kes yang agak rendah dan tiada kematian baharu direkodkan.
Sebahagian besar sempadan negara masih ditutup selain peraturan kuarantin berkaitan perjalanan dan perdagangan dalam negeri sentiasa berubah.
Parti di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping menolak gesaan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melonggarkan peraturan, enggan mengimport vaksin asing dan mengingkari permintaan untuk mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai sumber virus itu, yang pertama kali dikesan di bandar Wuhan pada akhir 2019. – AP










