Bahrain mengundi dalam pilihan raya tanpa pembangkang - Utusan Malaysia

Bahrain mengundi dalam pilihan raya tanpa pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAMA: Rakyat Bahrain mengundi dalam pilihan raya hari ini tetapi larangan ke atas calon pembangkang menyaksikan pilihan raya tidak akan membawa banyak perubahan walaupun terdapat jumlah besar calon yang bersaing untuk kerusi dewan perwakilan.

Lebih 330 calon, termasuk jumlah tertinggi 73 wanita, bersaing merebut 40 kerusi majlis perwakilan dalam dewan rendah Parlimen yang menasihati Raja Hamad Isa Al-Khalifa yang memerintah sejak bapanya meninggal dunia pada Mac 1999.

Jumlah tersebut meningkat daripada 293 orang termasuk 41 wanita yang bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu pada 2018.

Tetapi negara itu menghalang dua kumpulan pembangkang utamanya, parti Syiah, Al-Wefaq dan Waad meletakkan calon selepas kedua-duanya dibubarkan pada 2016 dan 2017.

“Pilihan raya ini tidak akan memperkenalkan sebarang perubahan.

“Tanpa pembangkang kita tidak akan mempunyai negara yang sihat,” kata aktivis hak asasi manusia Bahrain yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Ali Abdulemam.

Lebih 350,000 orang layak mengundi dalam pilihan raya yang dibuka bermula awal pagi itu.

Namun sekatan tersebut mencetuskan gesaan untuk memboikot pilihan raya, yang berlaku lebih sedekad selepas tindakan keras pada 2011 ke atas penunjuk perasaan yang diketuai Syiah yang menuntut pembaharuan politik.

Sejak itu, pihak berkuasa telah memenjarakan ratusan penentang termasuk pemimpin Al-Wefaq, Sheikh Ali Salman dan melucutkan banyak kewarganegaraan mereka.

Beberapa jam sebelum pilihan raya tersebut, laman web kerajaan negara itu dilaporkan digodam.

Kementerian Dalam Negeri tidak mengenal pasti laman web yang disasarkan, tetapi Agensi Berita Bahrain yang dikendalikan kerajaan negara itu tidak dapat dihubungi dalam talian dan juga laman web untuk Parlimen Bahrain.

Kemudian, laman web pilihan raya Bahrain tidak dapat diakses dari luar negara, walaupun laman web agensi berita itu telah dipulihkan.

“Laman web menjadi sasaran untuk menghalang pilihan raya dan menyebarkan mesej negatif dalam percubaan terdesak yang tidak akan menjejaskan keazaman rakyat yang akan pergi ke pusat mengundi,” kata Kementerian Dalam Negeri.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN