8 maut, pesawat kecil terhempas di Colombia - Utusan Malaysia

8 maut, pesawat kecil terhempas di Colombia

BOGOTA: Sebuah pesawat kecil yang membawa lapan orang, terhempas di kawasan perumahan di bandar kedua terbesar di Colombia, Medellin sehingga mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapalnya.

Menurut pihak berkuasa, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Olaya Herrera pada waktu pagi dengan membawa enam penumpang dan dua anak kapal.

Berdasarkan siasatan, pesawat itu mengalami kerosakan pada bahagian enjin sebelum merempuh sebuah rumah di kawasan kediaman itu.

Setakat ini, tiada laporan menyatakan sama ada penghuni rumah cedera atau terbunuh.

Sementara itu, Datuk Bandar Daniel Quintero berkata, pesawat jenis Piper itu dalam penerbangan dari Medellin menuju ke perbandaran Pizarro di Choco.

Katanya, pesawat itu dilaporkan memberi isyarat kegagalan enjin semasa berlepas dan tidak berjaya berpatah balik ke lapangan terbang Olaya Herrera.

“Terdapat insiden pesawat terhempas di sektor Belen Rosales. Pasukan penyelamat sudah diaktifkan untuk membantu mangsa,” katanya di Twitter.

Berdasarkan beberapa gambar dikongsi oleh perkhidmatan kecemasan, pesawat itu merempuh sebuah rumah sehingga memusnahkan tingkat atasnya. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN