COPENHAGEN: Sekurang-kurangnya 15,000 orang meninggal dunia di Eropah kerana cuaca panas melampau sepanjang tahun ini, dengan Sepanyol dan Jerman menjadi negara paling teruk terjejas.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bulan Jun hingga Ogos adalah paling panas di Eropah sejak rekod bermula dan suhu yang sangat tinggi mencetuskan kemarau terburuk sejak Zaman Pertengahan.
“Berdasarkan data negara yang dikemukakan setakat ini, dianggarkan 15,000 orang maut akibat suhu panas pada 2022.
“Hampir 4,000 kematian direkodkan di Sepanyol, lebih 1,000 di Portugal, lebih 3,200 di United Kingdom (UK) dan kira-kira 4,500 kematian di Jerman yang dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan sepanjang tiga bulan tersebut,” kata Pengarah Serantau WHo untuk Eropah, Hans Kluge menerusi satu kenyataan.
Angka itu dijangka meningkat apabila lebih banyak negara melaporkan lebihan kematian akibat suhu panas.
Kemarau yang berlaku menyebabkan sektor pertanian di Eropah merosot sehingga mencetuskan kebakaran hutan dan memberi tekanan teruk terhadap grid kuasa benua tersebut.
Gelombang haba yang tercetus antara Jun dan Julai lalu yang menyebabkan suhu naik mendadak sehingga 40 darjah Celsius di Britain buat pertama kali turut menyumbang kepada 24,000 lebihan kematian di Eropah. – AFP