Tiga terbunuh dalam protes anti junta di Guinea - Utusan Malaysia

Tiga terbunuh dalam protes anti junta di Guinea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CONAKRY: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam pergolakan yang kian meruncing membabitkan kumpulan penunjuk perasaan anti junta di ibu negara Guinea.
Susulan itu, pendakwa raya tertinggi Guinea menggesa tindakan keras terhadap penganjur dan peserta protes anti junta itu.

Penunjuk perasaan bertembung dengan pasukan keselamatan di Conakry dalam protes yang dianjurkan oleh kumpulan menentang junta pemerintah negara itu.

Ketua Pendakwa Raya Conakry, Yamoussa Conte berkata, enam anggota pasukan keselamatan mengalami kecederaan yang mana lima daripada mereka dalam keadaan parah.

Katanya, dua orang awam juga cedera dalam kejadian itu.

Justeru, beliau menggesa tindakan tegas diambil `terhadap penganjur dan semua peserta demonstrasi itu’.

Selain itu, Conte turut menamakan tujuh pemimpin pembangkang yang didakwa menyokong demonstrasi tersebut.

Barisan Nasional bagi Pembelaan Perlembagaan (FNDC) menggesa protes itu diadakan untuk menuntut kembali kerajaan yang diterajui orang awam dan pembebasan semua banduan yang ditahan atas alasan politik.

FNDC dalam satu kenyataan menggelar junta pemerintah sebagai `diktator’.

Sementara itu, kumpulan itu mengenal pasti tiga mangsa sebagai Thierno Bella Diallo, Boubacar Diallo dan Thierno Moussa Barry.

Jelas kumpulan itu, seramai 20 orang lagi mengalami luka tembakan manakala ramai lagi ditahan.

Menteri Kehakiman Alphonse Charles Wright dalam satu kenyataan mengesahkan kematian individu terbabit dan memaklumkan `punca kematian akan didedahkan selepas proses bedah siasat selesai’.

Beliau juga mengarahkan pendakwaan dilakukan tanpa mengulas mengenai pelaku yang didakwa.

Aktivis hak asasi manusia kerap mendakwa polis dan tentera Guinea menggunakan kekerasan lampau serta pihak berkuasa sentiasa `menutup mata’ di negara yang mempunyai sejarah keganasan politik itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN