NEW YORK: Russia dijangka membangkitkan tuduhan terhadap Ukraine yang didakwa merancang melakukan serangan ‘dirty bomb’ iaitu bahan peledak dengan menggunakan campuran bahan konvensional serta radioaktif di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa sama, Russia menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya melakukan ‘segala yang termampu’ untuk menghalang ‘rancangan jahat Ukraine’.
Duta Besar Russia di PBB, Vassily Nebenzia menyatakan hasrat itu menerusi surat kepada Majlis Keselamatan dan Guterres, kelmarin.
“Russia melihat penggunaan dirty bomb oleh Kyiv sebagai tindakan keganasan nuklear dan sehubungan itu, kita menggesa Barat untuk menggunakan pengaruh mereka terhadap Ukraine supaya membatalkan rancangan berbahaya tersebut.
“Russia juga menggesa PBB untuk melakukan semua yang boleh bagi mencegah jenayah kejam itu daripada berlaku,” katanya dalam surat berkenaan.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Russia sebenarnya yang mahu melancarkan serangan tersebut.
Beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) turut sependapat dengan Ukraine dan mendakwa Russia cuba mengalihkan perhatian dunia dengan menuduh Kyiv yang mahu melancarkan serangan.
APA ITU DIRTY BOMB?
– Merupakan bom yang dihasilkan menerusi dua campuran bahan iaitu konvensional dan radioaktif.
– Tiada pihak pernah menggunakan dirty bomb, namun tidak menolak kemungkinan kumpulan militan pernah cuba menghasilkannya.
– Tahap kemusnahan yang disebabkan oleh dirty bomb ‘lebih ringan’ berbanding bom atom atau bom hidrogen.
– Bagi menghasilkan dirty bomb, ia memerlukan keupayaan pengeluaran uranium yang di luar jangkaan kebanyakan negara.
– Tujuan utama penghasilannya adalah untuk mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat berbanding menyebabkan kematian besar-besaran.
– Mereka yang terdedah dengan radiasi dirty bomb akan mudah jatuh sakit.