Rusuhan bola: Polis Indonesia dikritik hebat, Jokowi arah siasatan penuh

Rusuhan bola: Polis Indonesia dikritik hebat, Jokowi arah siasatan penuh

PENYOKONG bola sepak di Semarang menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati mangsa rempuhan di stadium Kanjuruhan di bandar Malang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALANG: Polis Indonesia menerima kecaman hebat selepas 125 orang maut dalam rempuhan di sebuah stadium bola sepak di negara itu.

Kejadian itu berlaku selepas pasukan polis melepaskan gas pemedih mata terhadap para penyokong berang yang menyerbu padang bola sepak itu.

Tragedi yang berlaku pada malam Sabtu di bandar Malang yang juga mengakibatkan 323 orang cedera, disifatkan sebagai antara insiden membabitkan stadium sukan paling buruk di dunia.

Penyokong Arema FC di stadium Kanjuruhan menyerbu padang bola sepak selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada pasukan Persebaya Surabaya.

Polis menggambarkan insiden itu sebagai rusuhan dan memaklumkan pihaknya cuba memaksa penyokong untuk kembali ke tempat duduk asal serta melepaskan gas pemedih mata selepas dua pegawai terbunuh.

Menurut polis, kebanyakan mangsa maut akibat dipijak atau sesak nafas sehingga mati.

Sebelum ini, jurulatih pasukan Arema, Javier Roca berkata, ada segelintir penyokong yang ‘meninggal dunia dalam dakapan pemain’ selepas beberapa pemain pasukan kekal berada di padang selepas permainan tamat.

“Selepas pulang dari sidang akhbar, saya menyaksikan tragedi itu. Pemain pula melalui sambil membawa mangsa.

“Saya rasa polis bertindak keterlaluan. Walaupun saya tidak berada di luar sana dan tidak mengalaminya sendiri,” katanya kepada penyiar, Cadena Star.

Dalam pada itu, beberapa mangsa terselamat berkata, penonton mula panik ketika gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka.

“Polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan orang ramai bertempiaran lari keluar, menolak sesama sendiri dan mengorbankan ramai mangsa.

“Tiada apa-apa yang berlaku, tiada rusuhan. Saya tidak tahu apa masalahnya sehingga mereka tiba-tiba melepaskan gas pemedih mata. Itulah yang mengejutkan saya.

“Mereka tidak memikirkan mengenai kanak-kanak dan wanita yang juga berada di stadium,” kata saksi dikenali sebagai Doni.

Orang ramai mengangkat penonton yang cedera melalui kekacauan itu manakala mangsa terselamat pula membawa mayat keluar dari stadium berkenaan.

Seorang mangsa terselamat, Sam Gilang, 22, kehilangan tiga rakannya dalam insiden itu.

“Ia sangat menakutkan dan mengejutkan. Orang ramai saling menolak antara satu sama lain dan ramai terpijak ketika mahu ke pintu keluar.

“Mata saya pedih kerana terkena gas pemedih mata. Mujurlah saya memanjat pagar dan terselamat,” katanya.

Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak dalam satu temubual bersama penyiar Metro TV memaklumkan sekurang-kurangnya 125 orang maut dalam insiden itu.

Jumlah itu lebih rendah berbanding angka kematian 174 orang yang dilaporkan oleh pegawai sebelum ini.

“Beberapa nama mangsa direkodkan dua kali kerana dibawa ke hospital lain dan ditulis semula,” katanya dengan memetik data dikumpul polis dari 10 buah hospital.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan siasatan dijalankan ke atas insiden itu dan melakukan semakan keselamatan membabitkan semua perlawanan bola sepak.

Beliau juga mengarahkan persatuan bola sepak menangguhkan semua perlawanan sehingga `penambahbaikan keselamatan’ selesai dilakukan.

Rakaman video tular dalam media sosial menunjukkan orang ramai menjerit kata-kata lucah kepada polis yang memegang peralatan anti rusuhan dan belantan.

Gambar yang diambil dari dalam stadium ketika rempuhan itu juga menunjukkan polis melepaskan sejumlah besar gas pemedih mata dan orang ramai memanjat pagar.

Amnesty International menggesa siasatan dijalankan terhadap penggunaan gas pemedih mata dalam ruangan tertutup, dengan menyatakan ia hanya boleh digunakan ‘apabila kaedah lain gagal’.

KANAK-KANAK ANTARA MAUT

Sementara itu, pegawai Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Nahar berkata, seramai 32 kanak-kanak antara 125 orang terbunuh dalam insiden itu.

“Seramai 32 kanak-kanak meninggal dunia dan tujuh lagi menerima rawatan di hospital. Ada kemungkinan jumlah ini boleh meningkat,” katanya. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya