KYIV: Gelombang baharu serangan udara membabitkan dron kamikaze dan peluru berpandu Russia di Ukraine mengakibatkan lebih 25 orang maut dan lebih 100 lagi cedera.
Lapor Al Jazeera, menurut pihak berkuasa Ukraine, serangan udara dahsyat yang bermula pada 10 Oktober lalu, menyasarkan sekurang-kurangnya 10 wilayah di seluruh negara itu.
Malah, Russia didakwa melancarkan serangan itu menggunakan peluru berpandu dan dron buatan Iran.
Semalam, Kyiv dibedil serangan dron kamikaze sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan menjejaskan infrastruktur tenaga di wilayah tersebut.
Datuk Bandar Kyiv, Vitalii Klitschko berkata, antara mangsa terkorban merupakan seorang wanita mengandung yang bakal melahirkan anak dalam masa tiga bulan lagi.
Tentera Udara Ukraine memaklumkan pihaknya berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya 37 unit dron dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran menafikan dakwaan membekalkan senjata berkenaan kepada Russia.
* DRON KAMIKAZE
Ia berbeza dengan dron biasa yang kembali ke pangkalan sebaik sahaja peluru berpandu dilancarkan.
Dron kamikaze atau dikenali sebagai dron bunuh diri dimusnahkan dalam serangan.
Pakar pertahanan, Alex Gatopoulos berkata, dron itu boleh berlegar di ruang udara kawasan tertentu untuk mengenal pasti sasaran sebelum meluru untuk memusnahkannya.
“Sama seperti peluru berpandu jelajah, ia mampu menyerang sasaran ratusan kilometer jauhnya.
“Namun, peluru berpandu jelajah amat mahal berbanding dron kamikaze yang merupakan alternatif lebih murah dan tepat,” katanya.
Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Russia sudah membeli sebanyak 2,400 unit dron kamikaze.
Namun, menurut beliau, bekalan armada itu semakin berkurangan dengan cepat.
* DRON BUATAN IRAN
Ukraine mendakwa Russia mengimport dron itu dari Iran yang dikenali sebagai Shahed-136.
Penasihat kepada Zelensky, Mykhailo Podolyak menyalahkan Teheran bertanggungjawab atas `pembunuhan rakyat Ukraine’ akibat serangan dron itu.
Bagaimanapun, Iran menafikan sekeras-kerasnya dakwaan negara itu membekalkan dron itu kepada Russia.
Menurut Gatopoulos, dron tersebut tidak mungkin dihasilkan oleh Russia kerana negara itu agak ketinggalan dalam membangunkan dron taktikal rendah terutamanya membabitkan yang bersenjata.
Sementara itu, penganalisis dari Kolej King’s London, Samir Puri menjangkakan beberapa perjanjian jualan berkemungkinan berlaku antara Moscow dan Teheran.
“Dron ini dibeli dari Iran, dipindahkan ke zon perang lalu digunakannya.
“Saya rasa ia digunakan sebagai senjata dan akan terus mengelirukan pasukan tentera udara Ukraine dengan menambah sesuatu yang lain,” katanya.
Harga dron kamikaze jauh lebih rendah berbanding peluru berpandu jelajah namun ia masih dianggap mahal.
Menurut Puri, sebuah dron kamikaze dilaporkan berharga kira-kira AS$20,000 (RM94,276).
“Kos itu sebenarnya agak mahal apabila hakikatnya dron itu merupakan senjata sekali guna sahaja,” katanya