Rishi Sunak sah Perdana Menteri Britain baharu - Utusan Malaysia

Rishi Sunak sah Perdana Menteri Britain baharu

RISHI Sunak bersaing dengan Penny Mordaunt merebut jawatan Perdana Menteri Britain yang baharu. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ahli politik Parti Konservatif, Rishi Sunak mengukuhkan kedudukannya untuk diilantik sebagai Perdana Menteri baharu Britain selepas pencabar utamanya, Boris Johnson menarik diri daripada pencalonan kepimpinan Parti Tory untuk merebut jawatan tersebut.

Bekas Canselor itu, yang melancarkan kempennya secara rasmi pagi semalam, menerima sokongan daripada lebih 150 Ahli Parlimen Tory dan angka tersebut dijangka meningkat selepas penarikan diri Johnson.

Sunak mampu memenangi persaingan tersebut selepas menerima sokongan Setiausaha Dalam Negeri, Grant Shapps dan Setiausaha Kerja dan Pencen, Chloe Smith.

Menteri Angkatan Tentera, James Heappey yakin Sunak mampu menyatukan semula perpecahan dalam Parti Tory dan memulihkan kestabilan Kerajaan.

Canselor, Jeremy Hunt menyatakan sokongan kepada Sunak dalam satu artikel membandingkan bekas menteri kewangan itu dengan bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill kerana kesediaannya bercakap benar.

Johnson sebelum ini mendakwa sudah menerima sokongan daripada 102 ahli Parlimen namun angka tersebut masih rendah berbanding jumlah diperoleh Sunak.

“Terdapat peluang yang sangat baik bahawa saya akan berjaya dalam pemilihan dengan ahli Parti Konservatif dan saya sememangnya boleh kembali semula ke Downing Street.

“Namun, akhirnya saya terpaksa buat keputusan bahawa ini bukanlah perkara yang betul untuk dilakukan. Anda tidak boleh mentadbir dengan berkesan melainkan anda mempunyai parti yang bersatu padu di Parlimen.

“Oleh itu saya khuatir perkara terbaik ialah saya tidak membenarkan pencalonan saya diteruskan dan memberikan sokongan saya kepada sesiapa yang berjaya. Saya percaya saya mempunyai banyak untuk ditawarkan tetapi saya khuatir bahawa ini bukan masa yang sesuai,” kata Johnson dalam satu kenyataan.

Susulan kenyataan itu, Sunak berkata beliau berharap bekas perdana menteri itu akan menyumbang kepada rakyatnya di dalam dan luar negara.

“Boris Johnson menyampaikan Brexit dan pelancaran vaksin yang hebat. Dia memimpin negara kita melalui beberapa cabaran paling sukar yang pernah kita hadapi, dan kemudian menentang Presiden Russia, Vladimir Putin dengan perang di Ukraine.

“Kami akan sentiasa berterima kasih kepadanya untuk itu. Walaupun beliau telah memutuskan untuk tidak bertanding jawatan perdana menteri lagi, saya amat berharap beliau terus menyumbang kepada kehidupan orang awam di dalam dan luar negara,” jelas Sunak.

Sementara itu, pencabar Sunak, Penny Mourdaunt menarik diri selepas gagal meraih 100 sokongan ahli Tory, sekali gus memberi kemenangan mutlak kepada Sunak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya