Rakyat setuju hukuman mati berkesan kekang dadah - Utusan Malaysia

Rakyat setuju hukuman mati berkesan kekang dadah

SEBANYAK 94 peratus penduduk serantau anggap Singapura negara yang selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (MHA) mendapati majoriti penduduk di Singapura percaya hukuman mati berkesan bagi menghalang kegiatan pengedaran dadah ke republik ini.

MHA turut membentangkan dua kajian lain yang menunjukkan sokongan padu dalam kalangan warga Singapura dan penduduk tetap terhadap hukuman mati.

Kajian serantau yang dijalankan dalam dua fasa, pada 2018 dan 2021, itu mendapati 87 peratus responden percaya bahawa hukuman mati menyebabkan orang ramai tidak mahu mengedar sejumlah besar dadah ke Singapura.

Seramai 83 peratus daripada responden percaya hukuman mati adalah lebih berkesan daripada penjara seumur hidup dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah.

Kajian yang melibatkan 7,221 responden dari enam bandar serantau itu juga mendapati 94 peratus penduduk serantau menganggap Singapura negara yang selamat manakala 80.5 peratus penduduk serantau mengetahui undang-undang untuk jenayah berat seperti pembunuhan dan pengedaran dadah.

“Enam bandar serantau ini dipilih kerana jumlah pelancong yang ramai melawat Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata MHA.

Enam bandar itu juga merupakan tempat kebanyakan pengedar dadah yang memasuki Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Kajian tertumpu kepada responden yang berumur antara 20 hingga 39 tahun yang mempunyai pengetahuan tentang Singapura.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa persepsi penduduk serantau di luar Singapura mencerminkan perjanjian kukuh dalam kalangan warga Singapura dan penduduk tetap berhubung kesan hukuman mati.

Dalam kajian berasingan pada 2021 yang dijalankan Bahagian Penyelidikan dan Statistik (RSD) MHA, majoriti responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah hukuman yang sesuai terhadap kesalahan mengedar sejumlah besar dadah, menggunakan senjata api atau pembunuhan dengan sengaja.

Majoriti responden turut mempunyai keyakinan terhadap polis dan biro narkotik dalam memastikan tertuduh kes hukuman mati tertakluk kepada siasatan yang adil dan ketat.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 88.1 peratus responden mempunyai keyakinan terhadap Jabatan Peguam Negara dan mahkamah dalam memberikan kumpulan tertuduh yang sama dengan perbicaraan adil dan ketat.

Kurang daripada 2 peratus responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan bahawa sistem keadilan jenayah Singapura akan dapat berbuat demikian.

Menurut MHA, tiga kajian itu bertujuan untuk memahami pandangan penduduk tempatan dan persepsi penduduk di bandar serantau terhadap penggunaan hukuman mati di Singapura.

Ketiga-tiga kajian menunjukkan bahawa terdapat sokongan yang sangat kuat dalam kalangan penduduk Singapura untuk menggunakan hukuman mati di negara itu.

Ramai bersetuju terutamanya bagi jenayah paling serius, seperti pembunuhan dengan sengaja, penggunaan senjata api dan mengedar sejumlah besar dadah.

“Terdapat juga konsensus yang jelas, baik di dalam negeri mahupun di rantau ini, bahawa hukuman mati adalah berkesan dalam menghalang orang ramai daripada mengedar dadah ke Singapura.

“Hukuman mati juga lebih berkesan daripada penjara seumur hidup jika dibuat perbandingan,” jelas MHA -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya