EDINBURGH: Perkhidmatan kereta api Scotland berdepan gangguan selepas kakitangan syarikat ScotRail melancarkan mogok besar-besaran hari ini.
Lebih 2,000 pekerja Kesatuan Kebangsaan Pekerja Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) turut mengambil bahagian dalam tindakan itu selepas tuntutan kenaikan gaji sebanyak 5 peratus ditolak dan menyifatkan bayaran 500 pound yang diberikan (RM2,574) tidak mencukupi.
Menurut portal berita BBC, ScotRail yang kini dinasionalisasikan menyifatkan tuntutan tersebut sukar direalisasikan.
Perkhidmatan kereta api hanya berjalan di tiga laluan di tengah bandar dengan semua perkhidmatan lain dibatalkan.
Penyokong yang menuju ke perlawanan ragbi antarabangsa musim luruh pertama Scotland di Murrayfield turut dinasihatkan untuk mencari pengangkutan alternatif berikutan perkhidmatan yang sangat terhad.
Mogok itu melibatkan kakitangan seperti pemeriksa tiket, kakitangan stesen dan pekerja pembersihan.