TEHERAN: Pihak berkuasa Iran hari ini memaklumkan, seramai lapan orang terbunuh dalam kebakaran yang berlaku di sebuah penjara di utara Teheran.
Kebakaran yang berlaku di penjara Evin pada malam Sabtu lalu itu dikatakan berpunca daripada rusuhan dan pertempuran yang berlaku antara tahanan.
Namun, pihak berkuasa negara ini enggan mengesahkan maklumat berkenaan.
Rusuhan itu dikatakan berlaku empat minggu selepas kematian Mahsa Amini yang didakwa dipukul polis ketika dalam tahanan akibat kesalahan melanggar kod etika pemakaian.
Empat mangsa pertama yang dilaporkan terkorban dalam insiden kebakaran itu melibatkan tahanan di penjara Evin, dengan kesemuanya meninggal dunia di hospital.
Kemudian, angka korban meningkat kepada empat orang lagi, tanpa menyatakan ia melibatkan tahanan mahupun orang awam.
Ketika kebakaran berlaku, beberapa bunyi tembakan dan letupan juga boleh didengari dari dalam kompleks penjara berkenaan.
Terdahulu, banyak keluarga tahanan menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka susulan insiden yang berlaku. – AFP










