CHECHNYA: Pemimpin republik ini, Ramzan Kadyrov tidak teragak-agak untuk menghantar tiga anak remaja lelakinya menyertai barisan hadapan untuk bertempur di Ukraine.
Menerusi Telegram, Ramzan berkongsi video menunjukkan tiga anak lelakinya iaitu Akhmat, 16, Eli, 15 dan Adam, 14, menggunakan senjata api.
Katanya, ketiga-tiga anaknya itu sudah menjalani latihan sejak dari kecil dan menegaskan beliau tidak bergurau untuk menghantar mereka ke Ukraine.
“Sudah tiba masanya mendedahkan mereka dengan perlawanan sebenar dan saya mengalu-alukan kesediaan mereka,” kata Ramzan.
Video itu juga menunjukkan ketiga-tiga remaja itu memakai uniform tentera dan menggunakan senjata api dengan ‘lancar’.
Ramzan merupakan antara sekutu rapat Presiden Russia, Vladimir Putin dan kekalahan tentera Moscow di bandar Lyman, Donetsk menyebabkan beliau menggesa Russia supaya segera menggunakan senjata nuklear.
Namun, Moscow segera menolak desakan tersebut.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, pandangan dan desakan yang dilontarkan oleh Ramzan mempunyai unsur emosi.
“Setiap pemimpin republik mempunyai hak untuk menzahirkan pandangan mereka, namun emosi tidak boleh mempengaruhinya,” ujarnya.
Ramzan juga sebelum ini lantang mengkritik taktik perang yang ditunjukkan Russia yang disifatkannya ‘tidak berkesan dan hanya berdepan kekalahan lebih banyak jika diteruskan’.