LONDON: Perdana Menteri Britain, Liz Truss memecat seorang bekas pembantu kepada Boris Johnson berhubung dakwaan salah laku yang serius.
Downing Street dalam kenyataan memaklumkan Truss sudah mengarahkan Menteri Perdagangan, Conor Burns meninggalkan `pentadbiran berkuat kuasa serta-merta’.
“Perdana menteri mengambil tindakan tegas selepas dimaklumkan mengenai dakwaan ini.
“Ia amat jelas, semua menteri harus mengekalkan tahap integriti yang tinggi dan tingkah laku sepertimana dimahukan oleh rakyat,” jelasnya.
Burns, yang juga bekas Setiausaha Sulit Parlimen kepada Johnson ketika beliau merupakan Menteri Luar, turut digantung sementara daripada parti Konservatif yang dipimpin oleh Truss.
Pejabat whips memaklumkan, tindakan gantung daripada parti itu berikutan dakwaan kelakuan tidak sesuai pada awal minggu ini.
“Kami memandang serius terhadap semua dakwaan itu. Perdana Menteri secara jelas menyatakan disiplin tinggi dalam kalangan ahli membabitkan kehidupan awam harus dipertahankan,” jelasnya.
Sementara itu, media tempatan memetik Burns sebagai berkata, beliau akan bekerjasama dengan siasatan itu dan tidak sabar untuk membersihkan namanya. – AFP