KAHERAH – Ahli arkeologi Mesir menemukan sebuah keranda batu granit hitam besar atau sarkofagus berusia ribuan tahun di Kaherah baru-baru ini.
Sarkofagus gergasi itu diliputi inskripsi mengenai pembesar negara atau disebut Ptah-em-wia yang mengetuai perbendaharaan kerajaan Raja Ramses II.
Penemuan mengagumkan itu dibuat oleh Profesor Emeritus Fakulti Arkeologi Universiti Kaherah di Saqqara kira-kira 32 kilometer di selatan Kaherah.
El Aguizy yang mengetuai misi tersebut sejak tahun lalu teruja dengan kejayaannya kali ini yang mampu mendedahkan lebih banyak maklumat tentang pemerintah Mesir selepas firaun Tutankhamun.
“Sarkofagus ini begitu istimewa kerana dijumpai di lokasi asal pemakaman dan bukannya untuk makam berbeza seperti yang kerap berlaku sebelum ini.
“Gelaran Ptah-em-wia dalam tulisan hieroglif di sarkofagus ini menekankan hubungan baik pemiliknya dengan raja selain membuktikan peranan pentingnya pada masa itu,” katanya.
Profesor Universiti Harvard, Peter Der Manuelian berkata, Saqqara adalah satu daripada lokasi terpenting yang banyak merungkai tentang sejarah raja-raja dan pembesar Mesir ribuan tahun dahulu.