LONDON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari bandar Bath di Somerset menjadi individu termuda di dunia yang memiliki kaki palsu ‘pintar’ terbaharu dengan kuasa mikropemproses hidraulik.
Menurut Daily Mail, kaki palsu canggih itu mengandungi sistem komputer dan alat pengesan kecil yang membolehkan kanak-kanak berkenaan, Harmonie Rose Allen membengkokkan lututnya, berjalan, duduk dan bangun tanpa bantuan termasuk memanjat anak tangga.
Allen berkata, dia amat menyukai kaki baharunya kerana dapat bergerak bebas dan berdiri seperti rakan-rakannya di sekolah dan pakar yang membantu Allen turut bangga dengan pencapaiannya.
“Latihan pada mulanya agak sukar dan sangat mencabar untuk kanak-kanak yang baru berusia lapan tahun. Pastinya banyak air mata dan ‘rasuah aiskrim’ yang kami berikan untuk membantu Allen terus cekal dan berupaya menggunakan kaki palsu barunya ini.
‘Kami amat terharu apabila melihat Allen sudah berjaya menggunakan fungsi duduk lebih 3,000 kali dalam beberapa minggu dan sudah dapat berjalan hampir 2,500 langkah sehari,” jelas Pakar Klinikal, Alan Gordon.
Kanak-kanak itu dilaporkan diserang penyakit meningitis yang serius ketika berusia sepuluh bulan selepas dia mula berjalan.
Doktor meramalkan dia mempunyai peluang tipis untuk hidup tetapi pakar bedah berupaya menyelamatkan nyawanya dengan memotong tangan dan kakinya ke paras siku serta lutut.
Dia dipasangkan dengan kaki palsu prostetik pertamanya yang dibuat khas di Pusat Ortopedik Dorset pada 2017 ketika dia berumur tiga tahun.
Bagaimanapun, kaki palsu lamanya itu memerlukan Allen menghayunkan kakinya untuk berjalan dan menjatuhkan badannya ke belakang untuk duduk kerana hanya mempunyai engsel tanpa sebarang bantuan rintangan.