JAKARTA: Gara-gara lewat sampai ke sekolah, seorang guru terpaksa berputih mata apabila motosikal miliknya dicuri dalam satu kejadian yang berlaku di Jawa Tengah, Indonesia.
Lapor Kompas.com, ketika kejadian, guru bernama RH dikatakan terlewat tiba ke sekolah dan tergesa-gesa meletakkan motosikal jenis Honda Scoopy G-5768-XJ di luar pintu pagar sebuah sekolah di Desa Grinting, Daerah Bulakamba di Kabupaten Brebes.
Perbuatan dua individu mencuri motosikal guru itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sekolah berkenaan.
Malah, rakaman CCTV tersebut juga menjadi tular dalam media sosial.
Rakaman itu menunjukkan dua individu memakai jaket gelap dan topeng muka sedang menunggang motosikal jenis Honda Vario merah yang menggunakan plat nombor palsu.
“Mereka kemudian menghampiri motosikal mangsa yang diparkir di hadapan pintu pagar sekolah itu sebelum bertindak melarikan kenderaan terbabit menuju ke arah jalan Pantura,” jelas laporan itu.
Sementara itu, RH berkata, dia terlambat datang ke sekolah dan ketika itu pintu pagar sudah ditutup.
“Atas sebab itu, saya terus membiarkan motosikal saya di luar pagar sekolah kerana perlu memulakan sesi pengajaran.
“Namun, selepas tamat sekolah, saya dapati motosikal saya sudah tiada. Rakaman CCTV menunjukkan ia dicuri,” katanya.
Ketua Polis Bulakamba, Ibnu Setiadi berkata, pihaknya menyedari kejadian kecurian itu selepas rakaman CCTV tular dalam kalangan masyarakat.
Katanya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima aduan daripada mangsa.