SINGAPURA: Ekonomi Singapura diramalkan tumbuh pada rentak lebih perlahan dalam suku-suku akan datang.
Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sambil mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, iaitu antara tiga hingga empat peratus.
Pertumbuhan yang perlahan berbanding trend itu disebabkan permintaan luar yang merosot, industri elektronik sejagat yang merudum dan harga pengguna yang kekal tinggi.
Dalam semakan makroekonomi MAS yang dijalankan dua kali dalam setahun, pertumbuhan domestik sebahagiannya dipacu oleh pembukaan semula sempadan.
Namun, ekonomi dijangka tumbuh lebih perlahan apabila permintaan yang tertunggak mula berkurangan.
Sementara itu, MAS meramalkan inflasi teras akan kekal tinggi, iaitu lebih 5 peratus sepanjang tahun ini, disebabkan tekanan kos pada rantaian penghasilan di dalam dan luar negara.
Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga diramal mendorong inflasi teras pada suku pertama tahun depan, sebelum ia mereda pada suku kedua.