RIO DE JANEIRO: Seorang ahli politik Brazil, Roberto Jefferson menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas mencederakan dua anggota polis ketika membantah penahanannya yang diarahkan oleh Mahkamah Agung negara ini.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berkongsi video di media sosialnya selepas penahanan itu dibuat, sambil menegaskan, individu yang mencederakan anngota polis wajar dilayan sebagai penjenayah.
Dua anggota polis tersebut cedera selepas terkena serpihan bom tangan yang dilemparkan Jefferson.
Pihak berkuasa memaklumkan, kedua-dua anggota polis itu hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Menerusi video yang dikongsi dalam media sosial, Jefferson menunjukkan dua anggota polis tiba di rumahnya dan melalui video lain, beliau mengakui melemparkan bom tangan ke arah sebuah kenderaan, bukannya anggota polis berkenaan.
Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moares mengarahkan Jefferson dihukum penjara selepas beliau mengeluarkan video yang menghina hakim, Carmen Lucia berhubung keputusan berkaitan pilihan raya presiden.
Sebelum ini, Jefferson juga disiasat kerana didakwa menyebarkan berita palsu. – REUTERS