MELBOURNE: Banjir kilat yang berlaku menyebabkan ratusan kediaman di tenggara Australia dinaiki air, menyaksikan ribuan penduduk diarahkan berpindah ketika paras sungai terus meningkat.
Banjir besar dilaporkan melanda Victoria, menyebabkan penduduk di Melbourne terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Banyak kenderaan dibiarkan tersadai tepi jalan ketika jalan-jalan utama mula dinaiki air, selain terdapat penduduk turut terkandas dan terpaksa diselamatkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata, sebanyak 500 kediaman di negeri itu ‘tidak dapat dihuni’ akibat banjir yang berlaku, manakala lebih 500 infrastruktur juga terjejas.
“Jumlah kediaman ditenggelami banjir dan penduduk yang dipindahkan ke pusat perlindungan pasti akan bertambah dalam masa terdekat berdasarkan situasi semasa.
“Ketika ini, kami menggunakan helikopter untuk memantau kawasan sekitar dari udara,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap perkhidmatan kecemasan, Tim Wiebusch berkata, kira-kira 4,000 kediaman di Shepparton, iaitu dua jam perjalanan ke utara Melbourne dijangka dilanda banjir seawal minggu depan, sekali gus memburukkan keadaan.
Pasukan tentera Australia juga ditempatkan di kebanyakan kawasan di Victoria bagi membantu penduduk meletakkan beg pasir untuk mengelakkan air memasuki rumah mereka. – AFP











