AS rancang kerah pesawat pengebom B-52 ke utara Australia - Utusan Malaysia

AS rancang kerah pesawat pengebom B-52 ke utara Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengerahkan enam buah pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke pangkalan udara di utara Australia.

Lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC) dengan memetik dokumen AS, Washington sudah merangka pelan terperinci untuk membina kemudahan khusus bagi pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Tindal, kira-kira 300 kilometer (km) di selatan Darwin, wilayah utara Australia.

Kementerian Pertahanan Australia tidak mengulas mengenai laporan tersebut namun Tentera Udara AS memaklumkan keupayaan untuk mengerahkan pesawat pengebom ke Australia menghantar mesej kuat kepada musuh mengenai hasrat Washington untuk menggerakkan kuasa udara.

Penganalisis dari Center for New American Security, Becca Wasser berpandangan tindakan AS merupakan amaran kepada China di tengah-tengah kebimbangan republik itu mungkin boleh menceroboh pulau Taiwan.

“Mempunyai pesawat pengebom yang berupaya menjangkau dan berpotensi menyerang tanah besar China dilihat penting dan menghantar isyarat kepada republik itu bahawa sebarang tindakan ke atas Taiwan mampu memberi kesan,” katanya.

Ketegangan yang semakin memuncak antara Beijing dan AS ketika ini menjadikan Australia utara sebagai hab pertahanan penting bagi Washington.

Malah, negara itu komited untuk membelanjakan AS$1 bilion (RM4.72 bilion) untuk menaik taraf aset ketenteraan di rantau itu.

Sementara itu, menurut laporan ABC, rancangan Washington itu termasuk pembinaan `kemudahan operasi skuadron’ untuk digunakan pada musim kemarau di Wilayah Utara, pusat penyelenggaraan bersebelahan dan kawasan tempat letak pesawat untuk B-52.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN