LONDON: Satu tinjauan baharu mendapati sebahagian besar ahli Parti Tory mahu Boris Johnson kembali dipilih menjadi Perdana Menteri Britain.
Malah, ramai akar umbi parti itu juga mengakui sanggup menerima Rishi Sunak berbanding Liz Truss sebagai pemimpin negara ini.
Situasi itu sekaligus memberi tamparan hebat kepada Truss yang ketika ini bergelut untuk mengekalkan kedudukannya yang semakin lemah.
Lapor Daily Mail, tinjauan YouGov mendapati Johnson yang meletak jawatan sejak tiga bulan lalu, menjadi calon pilihan akar umbi Parti Tory sebagai perdana menteri.
Ia dibuat ketika beberapa ahli Parlimen Tory menyifatkan Johnson adalah prospek lebih baik dan terdekat untuk `calon perpaduan’ sekiranya Truss berundur diri atau disingkirkan dari jawatan.
Berdasarkan tinjauan YouGov, lebih separuh ahli Parti Tory merasakan Truss harus melepaskan jawatan perdana menteri.
Sebanyak 32 peratus ahli Parti Tory mahu Johnson menggantikan Truss, berbanding dengan 23 peratus yang memilih Sunak.
Satu tinjauan berasingan dijalankan oleh JL Partners mendapati Sunak kini boleh memenangi semula pemilihan kepemimpinan Tory yang tewas kepada Truss enam minggu lalu.
Kelmarin, Truss memohon maaf susulan pengumuman belanjawan baru-baru ini yang memberi kesan kepada pasaran kewangan.
Susulan itu, kedudukan Truss sebagai perdana menteri dilihat tergugat dengan segelintir ahli Parlimen secara terbuka meminta beliau meletakkan jawatan.