57 pelajar sekolah di Mexico diracun bahan 'misteri' - Utusan Malaysia

57 pelajar sekolah di Mexico diracun bahan ‘misteri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 57 pelajar diracuni bahan tidak dikenali di sebuah sekolah menengah luar bandar di selatan negeri Chiapas, Mexico, kata pihak berkuasa tempatan.

Keracunan membabitkan kumpulan besar itu adalah yang ketiga di sekolah Chiapas dilaporkan dalam media tempatan sejak dua minggu lalu dan ia menakutkan pelajar serta mencetuskan kemarahan ibu bapa.

Institut Keselamatan Sosial Mexico berkata, seramai 57 pelajar dalam komuniti luar bandar Bochil dihantar ke hospital tempatan dengan gejala keracunan dengan seorang daripadanya dalam keadaan ‘kritikal’ dan sudah dipindahkan ke hospital di ibu negeri, manakala selebihnya dilaporkan stabil.

Pihak berkuasa bagaimanapun, tidak membuat spekulasi mengenai puncanya kejadian itu, tetapi media tempatan melaporkan beberapa ibu bapa percaya pelajar berkenaan terdedah kepada air atau makanan yang tercemar.

“Kami marah dengan peristiwa ini,” kata pemimpin Bochil dalam satu kenyataan yang turut berkata, mereka akan bekerjasama dengan penyiasatan pendakwa raya negeri.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara dengan orang dewasa membawa remaja berpakaian seragam sekolah di laluan hospital bersama jeritan yang mencemaskan.

Di media sosial, pejabat pendakwa negeri hari ini berkata, mereka sudah menjalankan 15 ujian toksikologi dan semuanya didapati negatif dadah terlarang selepas laporan tersebar di media tempatan dan media sosial pelajar terbabit diuji positif kokain.

Dalam video Facebook menunjukkan, puluhan ibu bapa berkumpul di gelanggang bola keranjang sekolah menengah itu dan menuntut jawapan daripada pihak berkuasa, manakala anggota polis dengan perisai hanya berkawal.

Seorang lelaki dalam video itu berkata, anak perempuannya diracun dan diuji positif kokain di makmal swasta bersama pelajar lain.

Pejabat pendakwa negeri bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai ujian toksikologi seterusnya atau peristiwa keracunan sebelum itu.

Sejak 23 September lalu, media tempatan melaporkan dua kes keracunan membabitkan kumpulan besar di bandar Tapachula yang menjejaskan berpuluh-puluh pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya