28 maut Bangladesh dibadai Taufan Sitrang - Utusan Malaysia

28 maut Bangladesh dibadai Taufan Sitrang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Pasukan penyelamat Bangladesh menemukan mayat empat pelaut kapal korek, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat Taufan Sitrang kepada 28, ketika jutaan lagi penduduk terputus bekalan elektrik.

Penyelam daripada jabatan bomba menemukan mayat empat anak kapal itu selepas kapal korek berkenaan karam ketika ribut terbabit melanda Teluk Benggala.

“Kami menemukan satu mayat malam tadi dan tiga lagi pagi ini. Empat lagi anak kapal masih hilang,” kata jurucakap jabatan bomba, Abdullah Pasha.

Taufan atau angin ribut kerap melanda rantau itu, namun saintis berpandangan perubahan iklim menjadikan fenomena itu lebih kuat dan kerap.

Isnin lalu, Taufan Sitrang membadai selatan Bangladesh, namun pihak berkuasa sempat memindahkan kira-kira sejuta penduduk ke kawasan selamat sebelum ribut itu melanda.

Dengan kelajuan angin 80 kilometer sejam, taufan itu meninggalkan kesan kemusnahan di Bangladesh, yang didiami puluhan juta penduduk, dengan timbunan pokok diterbangkan ratusan kilometer dari pusat ribut sehingga ke Dhaka.

Pihak berkuasa memaklumkan, hampir 10,000 kediaman yang berbumbungkan zink mengalami kerosakan atau musnah, manakala tanaman di kawasan pertanian rosak.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Elektrik Luar Bandar, Debashish Chakrabarty, memaklumkan hampir lima juta penduduk masih terputus bekalan elektrik setakat hari ini.

Ketika ini, kira-kira sejuta penduduk yang dipindah ke tempat selamat dari kawasan rendah, sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Pada masa sama, hujan lebat melanda hampir keseluruhan kawasan di negara itu, menyebabkan banjir di beberapa bandar seperti Dhaka, Khulna dan Barisal, yang menerima hujan berjumlah 324, Isnin lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.