Ukraine dakwa Russia lancar serangan sasar orang awam, 23 terbunuh - Utusan Malaysia

Ukraine dakwa Russia lancar serangan sasar orang awam, 23 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Serangan Russia di bandar Zaporizhzhia, Ukraine, membunuh sekurang-kurangnya 23 orang manakala puluhan lagi orang awam dilaporkan cedera.

Menurut Gabenor Zaporizhzhia, Oleksandr Starukh, serangan itu berlaku beberapa jam sebelum Moscow merancang untuk menakluk lebih banyak kawasan di Ukraine selepas tujuh bulan perang berlaku.

“Sekurang-kurangnya 28 cedera apabila tentera Russia menyasarkan serangan ke atas kawasan diduduki penduduk negara itu.

“Pihak berkuasa Russia turut melancarkan konvoi kemanusiaan ke kawasan yang diduduki penduduk negara itu,” katanya melalui kenyataan media.

Starukh turut memaparkan gambar kenderaan yang terbakar dan mayat bergelimpangan di jalan raya. Russia bagaimanapun belum mengesahkan serangan berkenaan.

Serangan itu berlaku ketika Moscow membuat persediaan untuk mengambil empat wilayah di Ukraine selepas kritikan pihak antarabangsa terhadap pencerobohannya ke atas negara itu.

Wilayah itu membabitkan kawasan berhampiran Zaporizhzhia.

Starukh berkata, mereka yang terbabit dalam konvoi itu turut merancang untuk pergi ke wilayah yang diduduki Russia bagi mengambil sanak saudara mereka dan kemudian membawanya ke tempat yang selamat.

Penaklukan itu serta perancangan bagi mengadakan perhimpunan perayaan di Moscow dan wilayah yang diduduki akan berlaku hanya beberapa hari selepas pengundi dijangka meluluskan ‘referendum’ yang diuruskan oleh Moscow.

Referendum itu dikecam oleh Ukraine dan Barat kerana disifatkan sebagai haram, dan adalah paksaan dan penipuan.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu pemberita semalam bahawa empat wilayah di Ukraine iaitu Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia akan diambil Russia semasa majlis dihadiri Presiden negara itu, Vladimir Putin, yang dijangka memberikan ucap utama.

Peskov berkata, pentadbir wilayah pro-Moscow akan menandatangani perjanjian untuk menyertai Russia di Dewan St George di Kremlin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.