Ubah laluan kapal elak langgar paus biru  - Utusan Malaysia

Ubah laluan kapal elak langgar paus biru 

GAMBAR menunjukkan ikan paus biru kelihatan di perairan di Mirissa, selatan Sri Lanka pada tahun 2009. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Aktivis hak asasi haiwan memuji langkah sebuah syarikat perkapalan gergasi yang mengubah laluan penting di perairan Sri Lanka bagi melindungi ikan paus biru daripada dilanggar kapal.

Sebelum ini, aktivis antarabangsa dan pencinta alam sekitar tempatan selama bertahun-tahun mendesak pihak berkuasa untuk mengubah laluan perkapalan timur-barat sejauh 27.78 kilometer (km) lebih jauh ke luar pesisir.    

Mediterranean Shipping Company (MSC) yang berpangkalan di Geneva, baru-baru ini mengumumkan syarikatnya secara sukarela mengubahsuai laluan kapalnya pada jarak tersebut di sekitar perairan Sri Lanka.

Menurut syarikat pengangkut kontena terbesar dunia itu, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko pelanggaran membabitkan ikan paus dan ikan lumba-lumba.

“Tindakan itu juga mampu mengurangkan risiko sebanyak 95 peratus,” jelas syarikat itu.

MSC memaklumkan pihaknya juga mengarahkan kapal kecil yang berada di kawasan perairan itu untuk memperlahankan pergerakan hingga 10 knot di habitat ikan paus biru.

Spesies ikan paus biru merupakan mamalia yang terbesar pernah direkodkan di dunia.

Kawasan pantai selatan Sri Lanka mempunyai populasi ikan paus biru yang tinggi serta merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Para aktivis percaya puluhan ikan paus biru mati dilanggar kapal perdagangan pada dekad lalu.

Sementara itu, Dana Antarabangsa Kebajikan Haiwan menyambut baik langkah itu sambil menyifatkannya sebagai `berita baik untuk paus biru dan manusia’.

Jelasnya, kehadiran ikan paus biru itu menjana industri pelancongan membabitkan aktiviti menyaksikan spesies marin yang menguntungkan.    

Aktivis hak asasi haiwan Sri Lanka, Gehan Wijeratne berkata, topografi dasar lautan, arus dan monsun menjadikan laut selatan Sri Lanka kaya dengan nutrien dan hidupan marin.

“Rangkaian makanan yang kaya itu mewujudkan kawasan optimum untuk aktiviti penangkapan ikan. Malah, tidak menghairankan ikan paus turut berada di lokasi ini,” katanya.  

Malah, katanya, sebarang langkah untuk meningkatkan keselamatan nelayan dan perkapalan akan memberi impak positif kepada ikan paus dan pengunjung menyaksikan spesies itu. – AFP   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN