Tragedi tikaman: Serangan mungkin bermotifkan kebencian

Tragedi tikaman: Serangan mungkin bermotifkan kebencian

PASUKAN forensik memeriksa lokasi kejadian di Weldon, Saskatchewan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Insiden tikaman besar-besaran yang berlaku di komuniti Orang Asli dan bandar berhampiran wilayah Saskatchewan disifatkan sebagai insiden paling ngeri dalam sejarah Kanada.

Polis memaklumkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 15 lagi cedera dalam kejadian itu yang berlaku Ahad lalu.

Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, pihaknya mendapati 10 orang maut di komuniti Orang Asli terpencil dikenali sebagai James Smith Cree Nation dan berhampiran bandar Weldon, Saskatchewan.

Katanya, sekurang-kurangnya 15 lagi mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital.

“Sungguh mengerikan apa yang berlaku di wilayah kita,” katanya dalam sidang akhbar.

Menurut Blackmore, suspek dikenal pasti sebagai Damien Sanderson dan Myles Sanderson, masing-masing berusia berusia 30 dan 31 tahun serta berambut hitam dan bermata perang.

Katanya, kedua-dua suspek itu melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Nissan Rogue berwarna hitam.

James Smith Cree Nation yang mempunyai populasi seramai 2,500 orang mengisytiharkan darurat tempatan.

Malah, ramai penduduk di wilayah Saskatchewan digesa untuk berlindung di tempat yang selamat.

Blackmore berkata, polis menerima panggilan pada pukul 5.40 pagi (waktu tempatan) mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung kejadian serupa di 13 lokasi berasingan.

Jelas beliau, pemanggil mengenal pasti suspek berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa percaya ‘beberapa mangsa menjadi sasaran suspek dan individu lain pula diserang secara rawak’.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, jadi untuk bercakap mengenainya amat sukar pada masa ini,” katanya.

Setakat ini, maklumat mengenai mangsa tidak didedahkan.

SERANGAN MENGERIKAN

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyifatkan serangan itu mengerikan dan menyayat hati.

Trudeau menerusi ciapan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beberapa imej dan rakaman televisyen menunjukkan sejumlah rumah di kawasan luar bandar itu dikepung dengan pita kuning polis.

Malah, penduduk tempatan berkongsi beberapa gambar kejadian selepas serangan itu termasuk pemegang pintu pecah hingga rumah dirompak dalam media sosial.

Seorang penduduk di Weldon, Diane Shier mendakwa jirannya, seorang lelaki yang tinggal bersama cucunya, terbunuh dalam serangan itu.

“Saya berasa amat kecewa kerana kehilangan seorang jiran yang baik,” katanya kepada agensi berita Canadian Press. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN