Tentera Azerbaijan, Armenia kembali bertempur - Utusan Malaysia

Tentera Azerbaijan, Armenia kembali bertempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEREVAN: Pertempuran tercetus antara tentera Azerbaijan dan Armenia, sekali gus menyambung semula permusuhan beberapa dekad yang dikaitkan dengan wilayah Nagorno-Karabakh.

Azerbaijan, yang mewujudkan semula kawalan penuh ke atas wilayah itu dalam konflik selama enam minggu pada 2020, mengakui terdapat anggota tenteranya yang terbunuh.

Bagaimanapun, Armenia tidak menyebut sama anggotanya turut terkorban, sebaliknya berkata pertempuran berterusan semalaman.

Kerajaan Yerevan berkata, ia akan menggunakan perjanjian kerjasama dengan Russia dan merayu kepada blok keselamatan yang diketuai negara itu, termasuk Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain Presiden Russia, Vladimir Putin, Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan memanggil Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken untuk membincangkan situasi itu.

Blinken menggesa supaya permusuhan dihentikan serta-merta, di mana setiap pihak saling menyalahkan antara satu sama lain.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan berkata, beberapa kedudukan, tempat perlindungan dan titik pengukuhan angkatan bersenjata Azerbaijan… diserang pelbagai senjata berkaliber, termasuk mortar, oleh unit tentera Armenia.

“Akibatnya, terdapat kehilangan nyawa dan kerosakan kepada infrastruktur ketenteraan,” katanya.

Azerbaijan berkata, tentera Armenia terbabit dalam aktiviti perisikan di sempadannya dan memindahkan senjata ke kawasan itu, selain turut menjalankan operasi perlombongan.

Kementerian Pertahanan Armenia berkata, tembakan intensif secara berterusan, dimulakan akibat provokasi besar-besaran oleh pihak Azerbaijan.

Angkatan bersenjata Armenia hanya melancarkan tindak balas ala kadar.

Konflik mula-mula tercetus pada penghujung 1980-an apabila kedua-dua pihak berada di bawah pemerintahan Soviet dan tentera Armenia menawan sebahagian besar wilayah berhampiran Nagorno-Karabkah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah Azerbaijan, namun dengan populasi Armenia yang ramai.

Azerbaijan berjaya memperoleh semula wilayah itu dalam pertempuran 2020, yang berakhir dengan gencatan senjata dibantu oleh Russia dan ribuan penduduk pulang ke rumah mereka selepas melarikan diri.

Pemimpin kedua-dua negara sejak itu bertemu beberapa kali bagi mewujudkan perjanjian yang bertujuan mengekalkan keamanan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN