HANOI: Sebuah tarikan popular di Hanoi yang mempunyai landasan kereta api sepanjang 300 meter dengan terdapat kafe, restoran dan kedai di sepanjang jajaran itu diarah tutup.
Lapor Bloomberg, arahan penutupan oleh pihak berkuasa di daerah Hoan Kiem itu berikutan faktor keselamatan yang dibimbangi syarikat kereta api negara.
Arahan yang berkuat kuasa esok (17 September) tidak menyatakan tempoh sebenar penutupan berkenaan sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pengusaha perniagaan kecil-kecilan.
Golongan peniaga membuat bantahan kerana menjejaskan pendapatan serta merencatkan pertumbuhan pelancongan.
Pemilik Railway Cafe, Le Tuan Anh, 50, berkata, sehingga kini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang nasib perniagaan di situ.
Sedangkan, katanya, peniaga di kawasan itu mendapatkan bekalan elektrik dan air mengikut saluran yang betul.
“Mereka juga sentiasa membersihkan landasan serta memberi amaran kepada pengunjung agar menjauhi landasan apabila kereta api hendak melaluinya.
“Sejak keluarga saya tinggal di sini pada 1965, belum pernah berlaku sebarang insiden buruk melibatkan pelancong asing mahupun pengunjung tempatan,” katanya.
Hanoi Train Street popular dalam kalangan pelancong yang tidak melepaskan peluang bergambar atau melihat kereta api melalui landasan.
Landasan kereta api itu dibina semasa era pemerintahan Perancis pada awal kurun ke-20 dan kini dikendalikan oleh pengurusan syarikat Kereta Api Vietnam.