WASHINGTON: Russia didakwa membeli berjuta-juta roket dan peluru meriam dari Korea Utara bagi menyokong operasi ketenteraan khas yang sedang dilaksanakan di Ukraine.
Perisikan Amerika Syarikat (AS) membuat dakwaan itu dalam satu laporan yang disiarkan oleh New York Times baru-baru ini.
Lapor The Guardian, seorang pegawai AS mendakwa kebergantungan Moscow terhadap senjata dari Pyongyang secara tidak langsung menunjukkan tentera Russia sedang mengalami masalah kekurangan bekalan senjata yang teruk di Ukraine.
Malah, katanya, masalah itu sebahagian besar berpunca daripada sekatan dan kawalan eksport yang dikenakan ke atas Russia.
Pegawai perisikan AS percaya Russia masih boleh cuba mendapatkan bekalan peralatan tentera Korea Utara tambahan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, pegawai AS itu tidak mendedahkan butiran lanjut termasuk jumlah senjata yang mahu dibeli oleh Russia dari Korea Utara.
Penemuan itu muncul selepas pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengesahkan tentera Russia menerima bekalan dron buatan Iran bulan lalu, untuk digunakan dalam operasi ketenteraan di Ukraine.
Isnin lalu, jurucakap tentera udara Ukraine, Yuriy Ignat berkata, dron buatan Iran mampu membawa muatan amunisi lebih tiga kali ganda berbanding Bayaktar buatan Turki yang digunakan oleh tentera Kyiv.
Bagaimanapun, Ignat percaya pasukan pertahanan udara Ukraine mampu menembak jatuh dron berkenaan.
Sebarang penjualan senjata dari Korea Utara ke Russia dilihat melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Pyongyang mengeksport atau mengimport senjata dari negara lain.
Korea Utara berusaha mengukuhkan hubungan dengan Russia ketika kebanyakan negara Eropah dan Barat menarik diri berikutan insiden pencerobohan Moscow di Ukraine.
Rejim itu menyalahkan AS atas krisis yang berlaku Ukraine serta mendakwa `dasar hegemoni’ barat mewajarkan tindakan ketenteraan Russia di Ukraine untuk melindungi negaranya.