DHAKA: Kehadiran lebih sejuta pelarian Rohingya yang menetap di sejumlah kem sesak di Bangladesh mendatangkan kebimbangan serius terhadap keselamatan dan kestabilan negara ini.
Perdana Menterinya, Sheikh Hasina berkata, kehadiran pelarian etnik tersebut yang berterusan turut memberi kesan serius terhadap ekonomi, alam sekitar, keselamatan dan kestabilan sosiopolitik Bangladesh.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat pegawai tentera dari 24 negara Indo-Pasifik yang bakal berlangsung selama tiga hari.
Amerika Syarikat (AS) merupakan tuan rumah bersama dalam mesyuarat itu.
Ketika tentera negara yang mengambil bahagian membincangkan isu berkaitan pengurusan bencana, jenayah rentas negara, keselamatan dan pemerkasaan wanita, Bangladesh menggunakan platform berkenaan untuk mengetengahkan isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Ketua Tentera Bangladesh, jeneral SM Shafiuddin Ahmed berkata, negara peserta dalam mesyuarat itu, termasuk AS, Kanada, Australia, Jepun, Indonesia, India, China dan Vietnam akan melawat kem pelarian Rohingya untuk melihat sendiri keadaan mereka.
Jelas beliau, pemimpin tentera akan dibawa ke kem pelarian di Cox’s Bazar untuk memberikan mereka persepsi jelas mengenai kritikalnya krisis pelarian di negara ini, selain mengapa Rohingya perlu dihantar segera ke Myanmar.
Bulan lepas menandakan sudah lima tahun lebih 700,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh, selepas mereka melarikan dari negeri Rakhine susulan operasi ketenteraan Myanmar.
Secara keseluruhannya, Bangladesh menampung lebih sejuta pelarian Rohingya.
Dalam pada itu, Sheikh Hasina menegaskan, penghantaran pulang satu-satunya penyelesaian kepada krisis tersebut, namun Bangladesh tidak akan memaksa mereka pulang ke Myanmar.
Etnik Rohingya di negara ini memaklumkan, mereka akan pulang ke tempat asal sekiranya keadaan di Myanmar sudah reda, memandangkan negara itu kini masih bergolak akibat rampasan kuasa oleh junta.









