DES MOINES: Seorang remaja berusia 17 tahun didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di Iowa, Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan menikam lelaki yang merogolnya sehingga mati.
Lapor The Guardian, Pieper Lewis yang juga mangsa pemerdagangan manusia diperintah membayar ganti rugi sebanyak AS$150,000 (RM679,460) kepada keluarga lelaki berkenaan.
Lewis pada mulanya didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama terhadap Zachary Brooks,37, dari Des Moines pada Jun 2020.
Lewis mengaku bersalah atas tuduhan pembunuhan dan kecederaan yang disengajakan, kedua-duanya boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Bagaimanapun, Hakim daerah Polk, David M Porter menangguhkan hukuman penjara tersebut.
Sekiranya Lewis melanggar mana-mana bahagian percubaannya maka dia boleh dikenakan penjara selama 20 tahun.
“Mahkamah ini tiada pilihan lain selain mengarahkan remaja itu membayar wang kepada keluarga perogolnya,” kata Porter dengan merujuk ganti rugi itu adalah mandatori dibawah undang-undang negeri yang dikekalkan oleh Mahkamah Agung Iowa.
Ketika kejadian, Lewis yang berusia 15 tahun bertindak menikam Brooks lebih 30 kali di sebuah apartmen di Des Moines.
Menurut pegawai, Lewis melarikan diri dari ibu angkatnya yang kejam dan sedang tidur di koridor bangunan apartmen apabila dihampiri seorang lelaki berusia 28 tahun yang membawa masuk ke rumah sebelum memperdagangkannya kepada lelaki lain untuk seks.
Lewis berkata, seorang daripada lelaki itu merupakan Brooks yang merogolnya berkali-kali dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematiannya.
Sementara itu, bekas guru Lewis, Leland Schipper menggerakkan insiatif mengumpul dana menerusi GoFundMe bagi membantu meringankan beban ditanggung mangsa.
Katanya, dana terkumpul sudah melebihi jumlah diperlukan untuk membayar restitusi AS$150,000 (RM679,460).
Schipper berkata, wang itu akan digunakan terlebih dahulu untuk membayar ganti rugi tersebut dan tambahan AS$4,000 (RM18,118) yang terhutang kepada kerajaan negeri.