‘Kenapa pembunuh dan perogol keluarga saya dibebaskan?’ - Utusan Malaysia

‘Kenapa pembunuh dan perogol keluarga saya dibebaskan?’

Bilkis Bano pada mulanya menuntut kesemua penyerang dihukum mati, namun tetap menerima dengan hati terbuka apabila Mahkamah Tinggi Mumbai memutuskan mereka hanya dipenjara seumur hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP wanita yang menjadi mangsa rogol sudah pasti mahukan keadilan dan menyaksikan pelakunya mendapat hukuman setimpal atas perbuatan keji yang dilakukan.

Begitu juga dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Bilkis Bano apabila berpeluang menyaksikan 11 suspek yang merogolnya, dipenjara seumur hidup.

Namun, keadilan yang dianggap sebagai kemenangan buat diri dan keluarganya itu tidak berpanjangan apabila pihak berkuasa India membebaskan kesemua pesalah yang merogol dan membunuh keluarganya pada 15 Ogos lalu.

Satu video yang tular menunjukkan kesemua pesalah itu berbaris di luar penjara Godhra di negeri Gujarat untuk bertemu dengan keluarga masing-masing selepas dibebaskan.

Bilkis Bano yang mendengar berita itu berasa seperti ‘langit mahu runtuh’, terutamanya mengenangkan apa yang pernah berlaku terhadapnya dan lebih memilukan, keluarganya turut menjadi mangsa kekejaman manusia bertopengkan syaitan.

“Nafas saya seperti terhenti selepas mendapat tahu mereka dibebaskan sedangkan mereka sepatutnya menjalani hukuman penjara seumur hidup,” katanya.

DIKRITIK HEBAT
Keputusan pembebasan kesemua 11 pesalah itu diumumkan oleh kerajaan Gujarat ketika India meraikan Hari Kebangsaan Ke-75 tahun.

Menurut sumber, panel kerajaan meluluskan pembebasan kesemua pesalah selepas mereka menjalani hukuman penjara selama lebih 14 tahun sejak 2008, selain menunjukkan sikap yang baik dan faktor usia semakin lanjut.

Keputusan itu mendapat kecaman dan kritikan hebat daripada pelbagai pihak di seluruh India yang menyifatkannya sebagai diskriminasi terhadap penduduk beragama Islam dan golongan wanita.

Lebih 6,000 aktivis, pakar sejarah dan orang awam mengeluarkan kenyataan mendesak Mahkamah Agung menarik balik keputusan itu.

BAGAIMANA IA BERLAKU?
Serangan terhadap Bano dan keluarganya disifatkan sebagai satu daripada jenayah paling teruk sepanjang rusuhan ganas melibatkan penduduk Hindu dan Islam pada 2002 di Gujarat.

Rusuhan itu menyaksikan 60 penduduk Hindu terbunuh selepas kereta api yang mereka naiki terbakar di pekan Godhra.

Penduduk Hindu menuduh komuniti Islam yang memulakan kebakaran itu, menyaksikan kawasan penempatan mereka diserang dan selama tiga hari, lebih 1,000 orang terkorban dengan kebanyakannya melibatkan penduduk Islam.

Perdana Menteri, Narendra Modi yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Gujarat dikritik hebat kerana ‘tidak melakukan tindakan sewajarnya’ untuk menghentikan rusuhan tersebut dan beliau dengan segera menafikan sebarang pertuduhan, selain tidak memohon maaf atas insiden yang berlaku.

DETIK HITAM BILKIS BANO
Ketika kejadian, Bilkis Bano yang berusia 19 tahun serta mengandung anak kedua melawat ibu bapanya di sebuah perkampungan berhampiran Godhra bersama anak sulungnya yang berusia tiga tahun.

“Saya berada di dapur menyiapkan makan tengah hari apabila ibu saudara dan anaknya tiba-tiba berlari serta menjerit memaklumkan rumah mereka dibakar dan perlu segera melarikan.

“Saya dan keluarga juga terus melarikan diri, meninggalkan semua barangan di rumah, malah kasut juga kami tidak sempat pakai,” katanya.

Ketika melarikan diri, Bilkis Bano menyertai sekumpulan penduduk Islam seramai 17 tahun termasuk anak perempuannya, ibunya, sepupunya yang hamil, anak buah dan dua lelaki dewasa.

Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu berjalan dari kampung ke kampung mencari perlindungan di masjid atau di rumah penduduk Hindu yang sudi memberi pertolongan.

Pada pagi 3 Mac, ketika mereka berjalan ke kampung lain, sekumpulan lelaki menghalang mereka.

“Kumpulan itu menyerang kami dengan pedang dan kayu. Seorang daripada mereka mengambil anak saya dan menghempasnya ke tanah, menyebabkan kepalanya terhantuk pada batu.

“Kumpulan lelaki yang menyerang kami itu adalah jiran yang kami jumpa setiap hari, saling bertegur sapa, namun siapa sangka apa yang berlaku.

“Baju saya dikoyakkan dan saya dirogol beramai-ramai sehingga pengsan,” ujarnya.

Lebih memilukan, sepupunya yang baru dua hari melahirkan anak turut dirogol sehingga mati, manakala bayinya dibunuh.

Bilkis Bano terselamat daripada dibunuh kerana pengsan dan akhirnya, daripada 17 orang di dalam kumpulan itu, hanya dia, anak perempuannya dan dua kanak-kanak lelaki terselamat.

SUKAR TUNTUT KEADILAN
Bilkis Bano berdepan tempoh yang panjang dan pelbagai cabaran ketika mencari keadilan untuk diri dan keluarganya.

Antara cabaran dihadapinya termasuk bahan bukti dihapuskan, keluarganya yang terbunuh dikebumikan tanpa bedah siasat dan doktor yang merawatnya memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak dirogol, selain menerima ancaman bunuh, menyebabkan keluarganya sering berpindah rumah.

“Polis dan pihak berkuasa lain bersikap berat sebelah terhadap saya serta keluarga, malah mereka membantu suspek yang merogol dan membunuh keluarga saya.

“Penahanan pertama terhadap suspek yang terlibat hanya dibuat pada 2004 selepas Mahkamah Agung menyerahkan kes itu kepada pasukan penyiasat persekutuan, selain mahkamah itu percaya pihak berkuasa Gujarat tidak menguruskan kes itu secara adil,” jelas Bilkis Bano.

MAHU PESALAH DIPENJARA
Ketika perbicaraan, Bilkis Bano pada mulanya menuntut kesemua penyerang dihukum mati, namun tetap menerima dengan hati terbuka apabila Mahkamah Tinggi Mumbai memutuskan mereka hanya dipenjara seumur hidup.

“Saya tidak mahu membalas dendam, saya cuma mahu mereka menyedari kesalahan yang dibuat, sehingga meragut nyawa tidak bersalah,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya