MOSCOW: Pasukan polis Russia menyuraikan protes aman di seluruh negara yang membantah arahan Presiden Vladimir Putin untuk menghantar pasukan sukarelawan bagi bertempur di Ukraine.
Setakat ini, hampir 750 peserta demonstrasi termasuk 370 orang di Moscow ditahan, dengan 150 lagi di Saint Petersburg.
Terdapat sejumlah remaja dan kanak-kanak turut ditahan dalam protes tersebut.
Tunjuk perasaan mula berlaku sejak Rabu lalu, beberapa jam selepas Putin mengumumkan kerahan 300,000 anggota simpanan untuk membantu pasukan tentera negara ini bertempur di Ukraine.
Sejumlah anggota polis turut ditempatkan di beberapa bandar yang berlaku protes anjuran kumpulan pembangkang, menyaksikan penunjuk perasaan ditahan sebelum sempat memulakan demonstrasi.
Selain itu, Putin juga berdepan dengan kritikan daripada kalangan penyokongnya sendiri, malah ada yang meminta beliau menghentikan sementara kerahan tenaga berkenaan.
Ketika semakin ramai penduduk Russia melarikan diri ke beberapa negara jiran, Menteri Luar Sergey Lavrov di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyelar Barat yang didakwa mencetuskan sentimen ‘Russophobia’ sehingga negara ini mendapat persepsi negatif berterusan.
Lavrov secara lantang menyifatkan Barat menjadi punca kepada perpecahan Russia dan akan meneruskan agenda itu sehingga ‘kehendak mereka’ dipenuhi, iaitu kekal berkuasa di dunia.