EDINBURGH: Raja Charles III akan terbang ke Edinburgh untuk menyertai adik-beradiknya hari ini apabila keranda ibunya, Ratu Elizabeth II dibawa dalam perarakan dari istananya di Scotland ke Katedral St Giles yang bersejarah di bandar itu sebelum diterbangkan ke London keesokannya.
Sejak kemangkatan Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, satu siri rancangan disusun dengan teliti untuk meratapi pemerintahan Ratu Britain selama 70 tahun itu.
Semalam, keranda kayu oaknya, yang disarungkan Royal Standard of Scotland dengan kalungan bunga di atasnya, dibawa dengan kereta dalam perjalanan enam jam dari Balmoral melalui kawasan desa, kampung, pekan kecil dan bandar Scotland ke Edinburgh.
Berpuluh-puluh ribu orang berbaris memberi penghormatan.
Sebelum berlepas ke Scotland, Charles, 73, yang secara automatik menjadi Raja United Kingdom (UK) akan pergi ke parlimen Britain untuk satu lagi upacara tradisi.
Charles, yang juga akan melawat parlimen Scotland dan bertemu Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon, kemudiannya akan berjaga pada 7.20 malam (waktu tempatan) bersama kerabat diraja yang lain.
Esok keranda akan diterbangkan ke London di mana pada Rabu ia akan memulakan tempoh berbaring sehingga 19 September untuk pengebumian yang akan dikawal oleh askar atau Yeoman Warders dari Tower Of London.
Orang ramai dibenarkan memberi penghormatan terakhir selama 24 jam sehingga 6.30 pagi (waktu tempatan) pada 19 September.
“Mereka yang ingin hadir akan dikehendaki beratur selama berjam-jam, mungkin semalaman.
“Keramaian yang besar dijangka dan orang ramai digalakkan untuk menyemak lebih awal, merancang dengan sewajarnya dan bersedia untuk masa menunggu yang lama,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beribu-ribu orang terus berkumpul di istana diraja di seluruh Britain, membawa sejambak bunga.
Kali terakhir Britain menyaksikan majlis berkabung seperti itu pada 1997 berikutan kematian isteri pertama Charles, Puteri Diana, selepas beliau terbunuh dalam kemalangan kereta di Paris.” – REUTERS