LONDON: Raja Charles berikrar untuk `berkhidmat seumur hidup’ kepada negara, seperti mana yang pernah dilakukan oleh bonda baginda, Ratu Elizabeth II.
Raja Charles,73, menyampaikan perutusan pertama sebagai Raja Britain bagi menggantikan bondanya yang mangkat pada Khamis lalu.
“Sebagaimana dilakukan oleh Ratu dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi, saya juga kini sesungguhnya berjanji pada diri saya sepanjang hidup saya, dengan rahmat Tuhan untuk menegakkan prinsip Perlembagaan di negara kita,” kata Raja Charles dari Istana Buckingham, semalam.
Dalam ucapan penuh emosi, Raja Charles menzahirkan ucapan terima kasih kepada bondanya yang juga dikenali sebagai `mama tersayang’ atas kasih sayang serta pengabdian mendiang Ratu kepada keluarga dan seluruh negara.
Selain itu, Raja Charles berkata, baginda boleh `mengharapkan bantuan penuh dengan kasih sayang daripada isteri tersayang, Camilla yang menjadi Ratu Consort.
Raja Charles turut mengumumkan anak sulungnya, William sebagai `Putera Wales’, gelaran tertinggi bagi pewaris takhta.
Isteri William, Kate Middleton juga menyandang gelaran Puteri Wales yang pernah disandang oleh Puteri Diana, yang meninggal dunia pada 1997.
Dalam pada itu, Raja Charles turut menzahirkan rasa `kasih sayangnya’ kepada Putera Harry bersama isterinya, Meghan Markle yang memulakan kehidupan baharu di luar negara.
Ucapan Raja Charles III disiarkan di televisyen dan di Katedral St. Paul yang mana kira-kira 2,000 orang menghadiri upacara memperingati mendiang Ratu.
Setakat ini, tarikh upacara pengebumian Ratu Elizabeth II masih belum diumumkan secara rasmi namun ia dijangka diadakan pada 19 September ini.
Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland. – AGENSI