fbpx

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia

GAMBAR menunjukkan lapisan thermal blanket yang ditemukan di planet Marikh. - NASA

NEW YORK: Manusia meninggalkan kira-kira 7,118 kilogram (kg) sampah di planet Marikh sejak 50 tahun yang lalu sedangkan tiada mana-mana individu pernah menjejakkan kaki di planet merah itu.

Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini.

Hasil analisis mendapati sebanyak 7,118 kg serpihan bersepah di planet Marikh.

Serpihan itu antara lain terdiri daripada perkakasan dibuang, kapal angkasa tidak aktif dan yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.

Para saintis bimbang serpihan itu boleh mencemari sampel dikumpulkan oleh kenderaan robotik, Perseverance yang dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.

Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.

Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.

Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya.

Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.

Beberapa minggu kemudian, kenderaan Perseverance memasuki kawasan Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z 360 darjah yang beresolusi tinggi.

Imej yang menunjukkan cahaya terang itu merupakan pantulan daripada lapisan thermal blanket.

Lapisan material itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN