BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan mengarahkan dua pengawal peribadinya joging sambil mengikuti ‘buggy’ yang dinaikinya dalam panas terik ketika melakukan kunjungan ke wilayah Chachoengsao.
Media tempatan melaporkan, seorang daripada pengawal peribadinya ‘tidak mampu’ meneruskan joging tersebut kerana keletihan.
Ketika kejadian, Prawit melawat pusat rawatan air di daerah Mueang dan untuk tiba di kolam takungan berkenaan, beliau perlu menaiki buggy sejauh dua kilometer.
Biarpun terdapat enam buggy disediakan, ia tidak mampu memuatkan dua lagi pengawal peribadinya, menyebabkan Prawit mengarahkan mereka supaya joging mengikuti buggy.
Hanya seorang daripada pengawal peribadinya mampu berlari sehingga ke destinasi yang ditujui mereka.
Aksi kedua-dua pengawal peribadi itu berlari mengikuti buggy yang dinaiki Prawit menjadi tular dalam media sosial dengan ada yang mengkritik dan ada yang menyokong.
“Jika mahu jadi pengawal peribadi orang kenamaan, anda perlulah cergas dan tahan lasak,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pula berpendapat, tindakan itu ‘dihalalkan’ hanya kerana pemangku perdana menteri yang mengarahkannya, tanpa memikirkan soal belas ihsan.
“Walau apa pun pangkat anda, sila layan pekerja anda dengan perikemanusiaan,” tulisnya.