ISLAMABAD: Ketika komuniti antarabangsa menghulurkan bantuan bagi meredakan kesengsaraan yang ditanggung jutaan penduduk Pakistan akibat banjir, pihak berkuasa negara itu memaklumkan, bencana alam itu tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Hal ini kerana, banjir besar dijangka berlaku di selatan Pakistan apabila paras air di Tasik Manchar terus meningkat dan dijangka melimpah pada bila-bila masa susulan hujan lebat terus melanda.
Jabatan meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun di bahagian selatan negara ini dalam beberapa hari akan datang dan penduduk di daerah Jamshoro serta Dadu di wilayah Sindh segera berpindah ke kawasan tinggi.
Tasik itu yang terletak di barat Sungai Indus, merupakan tasik air tawar terbesar di Pakistan.
Ketua pentadbir Jamshoro, Fariduddin Mustafa berkata, pihak berkuasa memotong bahagian tebing sungai bagi membolehkan air mengalir ke Indus, namun usaha itu berdepan kesukaran memandangkan paras air semakin meningkat.
Katanya, sebahagian daerah Dadu sudah pun dinaiki banjir dengan ramai penduduk diarahkan berpindah.
Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pakistan merayu lebih banyak bantuan daripada antarabangsa selepas jumlah korban setakat ini mencecah 1,300 orang dan jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal.
Barisan kepemimpinan Pakistan ‘menyalahkan’ musim monsun luar biasa dan perubahan iklim berhubung banjir yang berlaku, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Guterres dijangka melawat Pakistan pada 9 September ini bagi melihat sendiri keadaan banjir di negara ini.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan, operasi menyelamat dan agihan bantuan kepada penduduk terjejas masih diteruskan menggunakan helikopter dan bot.
Sejumlah pusat pemindahan sementara juga dibangunkan oleh kerajaan untuk keperluan penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Pakistan menerima 30 penerbangan antarabangsa yang membawa bantuan dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Uzbekistan. – AP