Tujuh kapal Malaysia tunggu ‘lampu hijau’ Iran di Selat Hormuz

Tujuh kapal Malaysia tunggu ‘lampu hijau’ Iran di Selat Hormuz

MOHAMAD Hasan (kiri) menyambut tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar Negeri di Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tujuh buah kapal milik Malaysia yang dilaporkan terkandas di Selat Hormuz kini sedang menunggu kebenaran Iran untuk melalui kawasan berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal-kapal berkenaan tidak ditahan sebaliknya hanya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan keselamatan pelayaran susulan situasi tegang di Asia Barat ketika ini.

Menurutnya, kerajaan Malaysia juga telah melakukan rundingan awal bersama pihak Iran yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan supaya semua kapal-kapal Malaysia itu dibenarkan untuk melalui Selat Hormuz.

“Saya telah membuat langkah rundingan awal bersama rakan sejawat saya, perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita.

“Iran menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melalui, buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo. Bagi kapal tangki, mereka perlu tunggu dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar di Rantau di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tujuh buah kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah dilaporkan terkandas di Selat Hormuz dan belum dapat meneruskan pelayaran pulang ke negara ini.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, dua lagi adalah kapal pemasangan paip dan kapal sokongan luar pesisir manakala sebuah lagi adalah kapal gas asli cecair (LNG).

Mohamad menambah, komunikasi antara pusat arahan di Tehran dan komander di lapangan kadangkala terganggu akibat situasi konflik, menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara.

Tambahnya, dalam keadaan semasa yang tegang, mereka perlu pastikan koordinasi berjalan lancar bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Jadi kita telah minta, dia (Iran) kata nak tunggu window. Kadang-kadang dia punya komunikasi dekat sana susah juga. Tehran cakap ya, tetapi komander di lokasi perlu faham betul-betul, takut nanti ada insiden yang tidak ingin berlaku,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu memberitahu, tujuh buah kapal tangki terlibat ialah tiga milik Petronas, dua buah milik MISC dan masing-masing sebuah milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn.Bhd.

Tambahnya, kesemua kapal tersebut dijangka dibenarkan bergerak pada bila-bila masa bergantung kepada keadaan semasa dan waktu keselamatan keselamatan yang ditentukan pihak Iran.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN