PYONGYANG: Korea Utara menegaskan negaranya tidak pernah menjual senjata kepada Russia, kata pegawai di Kementerian Pertahanan.
Lapor BBC, menurut pegawai itu, Pyongyang juga tidak bercadang melakukan demikian pada masa hadapan.
“Kami tidak pernah mengeksport senjata mahupun peluru ke Russia sebelum ini.
“Malah, kami juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengeksport bekalan itu,” katanya dalam kenyataan sepertimana dilaporkan agensi berita KCNA.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Moscow bergantung kepada Pyongyang untuk menambah bekalan simpanan senjatanya.
Sebelum ini, pegawai AS mendakwa Russia mungkin membeli roket dan peluru meriam dari Korea Utara.
Bagaimanapun, Russia pada ketika itu menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, pegawai itu menuduh AS dan `pihak musuh’ menyebarkan khabar angin berkenaan.
Katanya, tindakan itu dilihat mengejar kepentingan politik dan ketenteraan negara itu.