BANGKOK: Sudah 10 tahun berlalu, pewaris minuman tenaga Red Bull, Vorayuth Yoovidhya masih bebas tanpa dikenakan sebarang tangkapan selepas dia didakwa terlibat dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian.
Vorayuth dituduh melanggar seorang anggota polis, Wichean Glanprasert dengan keretanya di kawasan kejiranan terkaya di Bangkok, sedekad lalu.
Pada 2017, lelaki itu melarikan diri dari Thailand menggunakan jet peribadi sehingga mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang menyifatkan ‘orang kaya tidak akan didakwa walaupun melakukan jenayah’.
Lapor New York Times, polis pada mulanya menerima laporan bahawa seorang pekerja Vorayuth yang memandu kenderaan tersebut, namun lelaki itu tetap menjadi suspek utama dan keluarganya membayar pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak AS$100,000 (RM448,442).
Selama lima tahun, Vorayuth ‘mempersendakan’ mahkamah apabila sering memberi alasan berada di luar negara atas urusan perniagaan atau sakit, namun gambar-gambarnya yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan dia menjalani kehidupan yang selesa dan sering bersuka ria.
Sebagai cucu kepada pengasas bersama Red Bull, Chaleo Yoovidhya yang meninggal dunia pada 2012, Vorayuth merupakan antara pewaris dengan nilai kekayaan dianggarkan sebanyak AS$26.4 bilion (RM118 bilion), menjadikannya keluarga kedua terkaya di Thailand.
“Keluarganya bukan sahaja berkuasa di Thailand, tetapi mereka juga sangat berkuasa di seluruh dunia,” kata penganalisis politik Thailand, Pavin Chachavalpongpun dari Universiti Kyoto.
Pada 2020, pihak berkuasa Thailand menggugurkan semua pertuduhan terhadap Vorayuth, mencetuskan bantahan awam secara besar-besaran termasuk kempen memboikot Red Bull. – AFP