OTTAWA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 15 lagi cedera akibat ditikam dalam kejadian berlaku di dua komuniti terpencil di Kanada.
Polis kini sedang memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.
Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, pihaknya mendapati 10 individu meninggal dunia dalam komuniti Orang Asli James Smith Cree Nation dan berhampiran bandar Weldon, Saskatchewan.
“Beberapa lagi mangsa mengalami kecederaan, ketika ini, seramai 15 daripadanya sudah dihantar ke hospital.
“Ramai mangsa mungkin sudah pergi ke hospital dengan sendiri.
“Ketika ini, kami sedang giat memburu kedua-dua suspek,” katanya dalam sidang akhbar.
Menurut Blackmore, dua suspek itu dikenali sebagai Damien Sanderson dan Myles Sanderson serta berusia 30 dan 31 tahun.
Katanya, kedua-dua lelaki itu didapati menaiki kereta jenis Nissan Rogue berwarna hitam.
Beberapa pusat pemeriksaan ditubuhkan di lebuh raya dan jalan raya seluruh wilayah itu ketika pasukan polis dikerahkan untuk memburu suspek berkenaan.
Polis mengeluarkan amaran orang berbahaya di Saskatchewan.
Menurut Blackmore, polis menerima panggilan pada pukul 5.40 pagi (waktu tempatan) mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung insiden itu.
Katanya, pihak berkuasa percaya `beberapa mangsa menjadi sasaran suspek dan individu lain pula diserang secara rawak’. – AFP










