RIAU: Penduduk di Desa Teluk Pauh di Riau ditawarkan sejumlah ganjaran wang tunai sekiranya mereka berjaya menangkap mana-mana pencuri berserta bukti kegiatan jenayahnya di kawasan kampung tersebut.
Tawaran itu dibuat menerusi papan iklan yang dinaikkan oleh penduduk kampung berkenaan.
Berdasarkan maklumat yang tertulis pada papan iklan itu, penduduk yang berjaya menangkap mana-mana pencuri pada waktu siang bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak 750,000 rupiah (RM227), manakala tawaran dinaikkan sebanyak sejuta rupiah (RM303) jika pencuri ditangkap pada waktu malam.
Papan iklan itu dinaikkan selepas kes kecurian di kampung tersebut dilaporkan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Ini adalah strategi penduduk dan ketua kampung dalam membanteras jenayah yang berlaku.
“Dalam tempoh setahun terakhir, banyak barangan berharga milik penduduk dicuri, termasuk telefon pintar, motosikal dan barangan kemas.
“Saya percaya kesemua barangan itu dicuri bagi membeli dadah,” kata ketua kampung, Mahviyen Trikon Putra kepada Kompas.com.
Namun, tidak lama selepas dipasang, papan iklan itu diarah diturunkan oleh polis dan pihak berkuasa menasihatkan penduduk supaya terus melaporkan kepada mereka sekiranya berlaku sebarang kegiatan jenayah.