fbpx

Ibu bapa keluar bekerja, dua beradik rentung dalam rumah

SEORANG penduduk menunjukkan bilik yang terbakar sehingga menyebabkan dua beradik rentung di Jawa Tengah. - AGENSI

PATI: Dua kanak-kanak yang masing-masing berusia tiga dan setahun ditemukan rentung selepas terkunci dalam bilik di rumah mereka yang terbakar di Pati, Jawa Tengah kelmarin.

Kedua-dua kanak-kanak itu merupakan adik-beradik dan kebakaran tersebut disedari jiran tetangga selepas mereka ternampak kepulan asap keluar dari bilik di rumah berkenaan.

Mereka cuba memadamkan kebakaran sambil menunggu ketibaan pasukan bomba dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 20 minit selepas ia bermula.

Jurucakap polis, Pujiati memaklumkan, penduduk setempat hanya mengetahui dua beradik itu terperangkap dalam bilik tersebut selepas kebakaran dipadamkan.

“Punca kebakaran dikaitkan dengan ubat nyamuk yang dipasang dalam bilik tersebut.

“Ketika kejadian, ibu bapa dua beradik itu tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya.

Ketika ditemukan, satu daripada mayat dua beradik itu berada berhampiran pintu bilik, dipercayai cuba membuka pintu, namun tidak berhasil akibat dikunci.

Sementara itu, jenazah dua beradik itu sudah dikebumikan oleh keluarga mereka.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN