BEIJING: Pihak berkuasa China didakwa giat mengumpulkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di seluruh Tibet termasuk kanak-kanak tadika tanpa kebenaran ibu bapa mereka.
Dakwaan itu dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) menerusi satu laporan baharu yang dikeluarkan Isnin lalu.
Lapor The Guardian, HRW mendakwa bukti baharu menunjukkan penemuan pemacu pengumpulan data DNA yang sistematik bagi seluruh populasi di Tibet.
Pengumpulan data itu sebagai sebahagian langkah ‘pengesanan jenayah’.
“Tiada bukti secara terbuka menunjukkan orang ramai boleh menolak untuk mengambil bahagian atau polis mempunyai bukti kredibel mengenai perbuatan jenayah yang mewajarkan pengumpulan data demikian,” jelas laporan itu.
Menurut HRW, pengumpulan data DNA secara besar-besaran untuk tujuan demikian melanggar hak asasi manusia secara serius.
Malah, jelas kumpulan hak asasi itu, langkah itu juga tidak boleh dijustifikasikan sebagai keperluan.
Pengumpulan data DNA yang dinyatakan dalam laporan itu didakwa sudah bermula pada tahun 2019 di bawah kempen dikenali sebagai three greats (pemeriksaan, penyiasatan dan pengantaraan) yang diwujudkan untuk mengukuhkan sistem pengawasan peringkat akar umbi China.
Laporan itu turut memetik dua tender kerajaan bagi pembinaan pangkalan data DNA tempatan pada tahun 2019.
Sementara itu, HRW mengenal pasti pengumpulan data di 14 lokasi berbeza merentasi setiap wilayah di Tibet.
Ia turut merangkumi sebuah keseluruhan wilayah, dua daerah, dua pekan, dua perbandaran dan tujuh perkampungan.
HRW juga mengesan beberapa pengumpulan data di wilayah Tibet di luar Wilayah Autonomi Tibet (TAR).