Chengdu dikenakan perintah berkurung - Utusan Malaysia

Chengdu dikenakan perintah berkurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China melaksanakan perintah berkurung di bandar Chengdu yang mempunyai hampir 16 juta penduduk, dalam usaha menangani kes baharu jangkitan Covid-19.

Perintah berkurung itu berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

China merupakan satu-satunya ekonomi utama dunia yang masih melaksanakan dasar `sifar Covid-19′ bagi memerangi jangkitan virus itu dengan melaksanakan perintah berkurung, ujian saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin lama.

Chengdu yang terletak di barat daya menjadi bandar terbaharu dikenakan perintah berkurung.

Dalam notis rasmi dikeluarkan, para penduduk diwajibkan berada di rumah bermula pukul 6 petang (waktu tempatan) untuk memerangi gelombang baharu Covid-19.

Jelas notis itu, hanya seorang individu daripada setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan setiap hari, dengan syarat disahkan negatif Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Tambah notis itu, semua penduduk akan menjalani ujian saringan Covid-19 antara pada hari Khamis dan Ahad.

Malah, mereka juga dinasihati agar tidak meninggalkan bandar itu melainkan ada urusan penting.

“Situasi semasa kawalan pandemik adalah tidak normal malah sangat kompleks dan suram.

“Langkah itu bertujuan memerangi penularan jangkitan secara tegas dan menjamin perlindungan kesihatan rakyat,” jelas notis itu.

Sementara itu, kerajaan wilayah dalam notis berasingan memaklumkan Chengdu melaporkan 157 kes Covid-19 tempatan yang mana 51 daripadanya tanpa gejala. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN