fbpx

Bekalan makanan global habis menjelang 2045?

POKOK jagung tidak dapat dituai selepas mati akibat gelombang haba melanda Gironde, Perancis pada 1 Ogos lalu. - AFP

PARIS: Cuaca melampau dengan suhu terlalu panas bukan sahaja mengundang risiko kepada pengusaha sektor pertanian, malah mengancam bekalan makanan global menjelang 2045.

Perubahan iklim sudah pun mencetuskan gelombang haba dan cuaca melampau di kebanyakan tempat di seluruh dunia, dengan musim panas dari India ke Eropah tahun ini dijangka memberi kesan terhadap hasil tuaian tanaman.

Peningkatan suhu juga menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan, terutamanya bagi mereka yang bekerja di lapangan, khususnya di kawasan yang mempunyai kadar kelembapan tinggi.

Ancaman itu dikesan menerusi penilaian risiko yang dilakukan oleh syarikat Verisk Maplecroft yang mendapati tekanan haba menyebabkan risiko melampau di 20 negara pertanian, termasuk India.

Namun, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, ancaman itu dijangka merebak ke 64 lagi negara menjelang 2045 yang mewakili 71 peratus rantaian bekalan makanan global, termasuk China, India, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

“Dengan peningkatan suhu global dan tekanan gelombang haba, kita bakal menyaksikan lebih banyak tanaman tidak dapat dituai di negara yang beriklim sederhana,” kata Will Nichols yang merupakan Ketua Iklim dan Daya Tahan di Verisk Maplecroft.

Berdasarkan penilaian yang dibuat, padi, koko dan tomato merupakan antara tanaman yang dijangka terjejas paling teruk.

RISIKO MENINGKAT

Set data tekanan hab oleh Maplecroft diperoleh menggunakan maklumat dari Pejabat Meteorologi United Kingdom (UK), dengan penilaian risiko dilaksanakan di semua negara di seluruh dunia.

Ia berdasarkan senario terburuk yang mendorong kepada peningkatan suhu sebanyak dua darjah Celcius, iaitu melebihi kadar praindustri seawal tahun 2045.

Bagaimanapun, penyelidik menekankan bahawa berdasarkan unjuran semasa, biarpun seluruh dunia mempertingkatkan usaha mengurangkan pelepasan karbon, suhu global akan tetap meningkat sekitar dua darjah Celsius.

India yang bertanggungjawab menjadi negara pengeluar makanan global sebanyak 12 peratus pada 2020 dan bergantung pada aktiviti buruh, sudah pun dinilai sebagai berisiko tinggi, sekali gus menjadi satu-satunya negara pertanian utama dalam kategori tersebut pada suhu semasa.

“Terdapat kebimbangan yang besar, terutamanya melibatkan penduduk di kawasan luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sektor agrikultur kerana mereka lebih terdedah dengan risiko ini,” ujar Nichols.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan produktiviti dan sektor eksport, selain tidak mustahil boleh memberi kesan terhadap tingkat kredit dan kestabilan politik di sesebuah negara.

JUMLAH NEGARA BERTAMBAH

Dalam pada itu, jumlah negara yang berisiko juga dijangka bertambah menjelang 2045.

Sembilan daripada 10 negara yang terjejas pada tahun itu adalah di Afrika, termasuk pengeluar bekalan koko kedua terbesar dunia, iaitu Ghana serta Togo dan Republik Afrika Tengah merekodkan penilaian terburuk.

Sebanyak 20 negara lain yang dijangka berdepan risiko sama termasuk pengeluar beras, Kemboja, Thailand dan Vietnam apabila ada pesawah di Vietnam sudah mula bekerja pda waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas.

Negara ekonomi utama dunia seperti AS dan China turut menyaksikan risiko dalam sektor pertanian pada tahun 2045, walaupun kesannya tidak menyeluruh.

Di Eropah, tujuh daripada 10 negara juga berdepan risiko serupa. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN