WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej penjualan senjata bernilai AS$1.1 bilion (RM4 bilion) kepada Taiwan untuk mempertingkatkan pertahanan negara itu ketika ketegangan yang memuncak dengan Beijing.
BBC melaporkan pakej berkenaan termasuk sistem amaran awal radar bernilai AS$665 juta bagi membantu Taiwan mengesan peluru berpandu serta sekitar 60 peluru berpandu Harpoon yang canggih bernilai AS$355 juta yang berupaya menenggelamkan kapal.
Seorang jurucakap Jabatan Negara yang meluluskan penjualan senjata itu berkata pakej tersebut ‘penting demi keselamatan Taiwan’.
“Penjualan senjata yang diusulkan itu adalah kes-kes rutin bagi menyokong usaha Taiwan untuk memodenkan angkatan tenteranya di samping mengekalkan keupayaan pertahanan yang diyakini.
“Kami menggesa Beijing supaya menghentikan tekanan tentera, diplomatik serta ekonomi terhadap Taiwan dan sebaliknya mengadakan dialog yang bermakna dengan negara itu,” katanya.
Penjualan baharu itu diumumkan sebulan selepas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi melakukan lawatan ke Taipei.
Sejak lawatan tersebut, China menunjukkan kekuatannya yang berkemungkinan menjadi percubaan untuk menceroboh Taiwan pada masa akan datang.











