fbpx

345 juta penduduk di 82 negara diancam kebuluran

NEW YORK: Pemimpin program makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran dunia bakal berdepan kecemasan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini, apabila 345 juta penduduk dunia berdepan kebuluran.

Jumlah itu termasuk 70 juta orang yang semakin hampiri kebuluran akibat perang di Ukraine.

Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia PBB, David Beasley, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa 345 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang meruncing di 82 negara.

Jelasnya, angka itu adalah dua setengah kali ganda bilangan orang tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi sebelum Covid-19 melanda pada 2020.

Beliau menegaskan situasi amat membimbangkan kerana 50 juta daripada mereka berada di 45 negara, mengalami kekurangan zat makanan sangat teruk dan di ambang kebuluran.

“Gelombang kelaparan yang terjadi kini bertukar menjadi tsunami kelaparan,” katanya merujuk peningkatan konflik, kesan ekonomi pandemik Covid-19, perubahan iklim, kenaikan harga bahan api dan perang di Ukraine.

Sejak Russia menceroboh negara jirannya pada 25 Februari lalu, Beasley berkata, kos makanan, bahan api dan baja naik mendadak sehingga mendorong 70 juta orang di ambang kebuluran.

Meskipun perjanjian Julai lalu membenarkan bekalan bijirin Ukraine dihantar dari tiga pelabuhan Laut Hitam namun disekat Russia.

Bagaimanapun terdapat usaha berterusan untuk mendapatkan baja dari Russia untuk kembali ke pasaran global.

“Terdapat risiko sebenar dan berbahaya bagi kebuluran berganda tahun ini. Pada 2023, krisis harga makanan semasa boleh berkembang menjadi krisis ketersediaan makanan jika kita tidak bertindak,” kata Beasley.

Majlis Keselamatan menumpu kepada ketidakjaminan makanan disebabkan konflik dan risiko kebuluran di Ethiopia, timur laut Nigeria, Sudan Selatan dan Yaman.

Beasley dan Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths, turut memberi amaran mengenai krisis makanan di Somalia yang mereka berdua lawati baru-baru ini.

Griffiths juga meletakkan Afghanistan dalam senarai teratas. – AP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN